NOVEMBER 2023

Peruntukan RM1.03 Bilion Untuk Projek Bekalan Air Serian


SERIAN: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM1.03 bilion bagi projek naik taraf bekalan air di bahagian ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Perkara ini dinyatakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, kesemua projek itu dijangka dapat disiapkan selepas 2025 atas faktor kebolehcapaian ke beberapa kawasan sasaran.

"Ia dapat disiapkan dalam tempoh satu hingga dua tahun selepas 2025 bagi memastikan bekalan air sampai ke kawasan sasaran di bahagian ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pembangunan Negeri (SDCCM) di Pusat Persidangan Serian (SCC), di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, sebanyak 80 projek terbabit dilaksanakan di bahagian Serian dengan peruntukan siling berjumlah RM368.6 juta.

Katanya, sebanyak 34 projek (42 peratus) telah siap sepenuhnya manakala 12 projek (15 peratus) masih dalam pelaksanaan dan 30 projek dalam peringkat perancangan.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

GAMBAR: JABATAN PREMIER SARAWAK

Sumber dari : Jiwa Bakti